Selasa, 29 Julai 2008

Bila UMNO Memukul Gendang

Sehari dua ni, irama politik negara semakin rancak dan bergelora apabila media arus perdana kembali mendapat rentak dan irama setelah sekian lama menyanyikan lagu sumbang dan tempang sebagai kesan dibelasah teruk oleh si nyamuk kecil bloggers dan media alternatif semasa pilihan raya umum 12 yang lalu.

Bermula dengan isu muzakarah, muqabalah dan akhirnya isu penggabungan umno dan pas di dalam sebuah parti baru, media-media umno/ bn dilihat semakin bertenaga mengembar-gemburkan isu ini sebagai mantera ajaib yang memukau rakyat bagi melupakan seketika masalah-masalah yang sedang membarah di dalam umno dan bn.

Bila semakin kencang gendang dipalu oleh umno dan bn semkin panas rakyat jadinya bukan setakat rakyat biasa bahkan para pendokong dan pemimpin pakatan rakyat juga telah mula menggerakkan kaki mengikut nada dan rentak lagu hits media arus perdana. Masakan tidak hampir setiap hari disiarkan bahawa kerajaan pakatan yang digagaskan oleh undi protes rakyat yang telah 50 tahun diguna-gunakan oleh umno/bn telah dilanda badai dan taufan yang mengakibatkan “rumah sewa” (kata seorang ahli akademik bn di tv3) pakatan rakyat sedang retak menanti belah dan bakal bertalak tiga.

Saya juga berasa hairan begitu murahkan harga maruah dan prinsip ahli akademik kita pada hari ini sehingga sanggup menggadaikan title prof., dr. yang mereka miliki untuk memberikan ulasan yang ternyata jauh panggang dari api. Mungkin juga mereka terpedaya oleh media kerana almaklumlah media umno/bn ni memang sejak azalinya suka mengambil kenyataan separuh sahaja dan menyembunyikan separuh lagi kenyataan yang benar tetapi merugikan umno/bn.

Kesianlah juga kepada pakar-pakar ilmu kita yang telah membelanjakan sekian banyak duit rakyat untuk mendalamkan ilmu mereka di dalam dan luar negara tetapi akhirnya terperangkap oleh kebijaksanaan media arus perdana tersebut. Justeru tidak hairanlah juga kalau-kalau perjuangan mahasiswa semakin mandul dan lesu disebabkan mahaguru mereka di kampus pun telah berjaya diperkotak-katikan oleh orang suruhan umno/bn inikan pula anak murid yang baru setahun jagung mengenal dunia politik istimewa demokrasi versi Malaysia (origanal; the one and only in the world!), bak kata orang-orang lama kita kalau sudah gurunya kencing berdiri pastilah anak muridnya akan kencing berlari-lari.

Cuma yang agak menghairankan walaupun rentak baru umno/bn ini dilihat berirama rancak tetapi juara-juara dalam sepak terajang politik negara pasti boleh menyedari bahawa lagu dan senikatanya adalah senikata lapok dan basi. Justeru mereka tidak akan mudah untuk merendahkan diri untuk turun ke gelanggan tari menarikan rentak dan irama murahan seperti itu. Lalu bagaimanakah pula boleh ada orang-orang lama (otai) politik di dalam pakatan rakyat boleh cepat sangat melatah??? Mungkinkah mereka juga terpedaya dengan nada semboyan keramat umno/bn ini? Atau mungkinkah mereka bernasib malang kerana kenyataan-kenyataan mereka telah diputar-belit oleh media yang sememangnya suka memutar dan membelit ini? Memang sejarah dari dahulu membuktikan media umno/bn ini selalunya menyalah-tafsir apa jua kenyataan yang dikeluarkan terutamanya oleh parti-parti oposisi. Biasalah mungkin mereka belajar ilmu kewartawanan ini daripada para pengamal media luar negara yang hebat-hebat sehingga mereka tidak berapa faham dengan bahasa Melayu dan bahasa inggeris ala Malaysia, sebab itulah lain orang cakap lain yang mereka siarkan (meman pun dasar umno/bn menganak-tirikan bahasa Melayu).

Maka sewajarnya seluruh rakyat Malaysia amnya dan warga pendokong perjuangan memartabatkan rakyat ini bersikap lebih matang dan profesional. Mengapa begitu mudah mempercayai khabar yang dibawa oleh musuh??? Namanya pun musuh, belum lagi ada dalam sejarah tamadun manusia ini musuh akan mengkhabarkan berita yang menjadikan lawan mereka semakin bersatu dan berpadu. Justeru kita harus bijak menilai irama dan lagu yang berkumandang di dalam negara hari ini kerana setiap langkah tarian kita amat mahal harga kerana masa depan rakyat negara ini adalah taruhannya.

Kita harus menjadi bijak dan cermat agar kita boleh merebut peluang mengubah nada dan rentak lagu menjadi nyanyai kita yang merdu, belajarlah daripada Mursyidul Am pas yang dilihat begitu matang menghadapi media umno/bn ini apabila kenyataan-kenyataan beliau yang cuba disyairkan oleh media umno/bn menjadi duri dalam daging kepada umno dan bn itu sendiri. Misalnya isu pembubaran umno dan pas lalu menubuhkan parti baru untuk orang Melayu jika dihalusi sebenarnya memperlihatkan akhirnya nanti umno bukan benar-benar ikhlas memperjuangkan Melayu dan Islam kerana mereka tidak akan sanggup untuk duduk di dalam sebuah parti yang berteraskan Islam demi orang Melayu. Mereka hanya pentingkan poket dan perut mereka sendiri sahaja.

Kepada rakan-rakan pas di dalam pakatan rakyat usahlah curiga dan berburuk sangka dengan sesama anggota pakatan kerana ia hanya mergikan kita dan rakyat sahaja kerana walaupun tidak terzahir ke wajah rakyat tetapi jauh menebal di hati rakyat untuk melihat runtuhnya kezaliman menjelang 16 september nanti. Usahlah gadaikan harapan rakyat dengan hanya sekadar muzik cabuk umno/bn itu. Ingatlah semua bahawa sesungguhnya yang dipalu rancak oleh media umno/bn hari ini bukanlah irama dan lagu hiburan buat kita tetapi sebenarnya genderang perang yang menunjuk betapa mereka sudah bersedia untuk dikalahkan oleh kuasa keramat kebangkitan rakyat!

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Assalamualaikum, awak kenal kan arien tu?? Saya di sini ingin mengambil kesempatan nak minta saudara/saudari nasihatkan si arin nih. Dulu die ada berkawan dengan adik saya. Malangnya tak sampai jodoh la kan. Saya rase semua pun tahu siapa yang saya maksudkan. SO kalau boleh nasihatkanlah si arin tu jangan dok kacau rumahtangga orang. Kan arin pun bersuami dan mempunyai 2 orang anak, kenapa masih menghubungi suami orang?? Kan aarin nih berjubah dan bertudung labuh, tak malu ke buat perangai macam perempuan murahan. Bulan yang baik dan mulia ini, Tuhan Yang Maha Berkuasa telah memberi petunjuk kepada isteri yang teraniaya. Sebab itulah saya terpanggil untuk menghubungi kawan2 arin ni. Jadilah kawan yang sejati dan nasihatilah kawan awak si arin tu, jangan kacau rumahtangga adik saya lagi. Malulah kat Tuhan. Kesian lah dekat suami dan anak-anak di rumah.